I'm glad I didn't know
the way it all would end
the way it all would goBila direnungi balik, betapa insaf rasa di hati.
Betapa besarnya kuasa Tuhan. Betapa hebatnya dia menyusun segala perkara dengan cantik. Betapa sayangnya Dia pada saya.
Peliknya bunyi "saya". Hehe. Saja la nak menekankan rasa rendah diri pada Dia Yang Menciptakan.
Sayang-Nya pada saya, saya dilindungi sentiasa. Meski banyak masalah dan cabaran dalam mencari redha-Nya, saya sentiasa dijaga oleh-Nya.
Cuma, saya selalu terlambat perasan yang ujian diberikan-Nya adalah bertujuan untuk melindungi saya. Bukan saja-saja nak uji. Sebenarnya Dia mahu menyelamatkan saya.
Kadangkala bila direnung balik, hati saya akan terdetik:
"Ya Allah, patutlah benda tu berlaku. Rupanya Allah nak jaga aku."
Sayangnya perkara ini hanya terdetik di hati bila dah macam-macam menyumpah dan merungut. Last sekali baru sedar... masya-Allah, begitu cantik aturan-Nya, betapa hebat pengetahuan-Nya.
Pernah saya terfikir, apalah yang akan jadi pada saya sekarang sekiranya saya turut serta dalam golongan bekas rakan-rakan sekolah dahulu. Adakah saya akan menjadi seperti mereka, atau adakah saya adalah saya yang sama seperti sekarang ini?
Pernah juga saya terfikir, apakah yang akan jadi pada saya sekiranya hati saya dipaling dari menghadap-Nya? Na'uzubillahi minzalik.
Pernah saya terfikir, andai manusia mengetahui awal-awal bila mereka akan menemui kematian, bila kiamat itu akan terjadi, dan di mana destinasi terakhir mereka (syurga/neraka), adakah dunia masih lagi dunia sekarang ini? Adakah ustaz dan ustazah masih lagi ustaz dan ustazah, adakah para daie masih lagi para daie, adakah Islam itu masih Islam?
Pernah juga saya terfikir, seandainya Allah tidak menggerakkan hati saya untuk mengambil keputusan itu dahulu, apa yang akan jadi pada saya sekarang? Adakah saya masih diri saya yang sekarang ini, atau adakah saya jadi lebih jauh dari-Nya?
Apabila persoalan ini menjengah perasaan saya, saya rasa malu dengan-Nya. Malu kerana di kala saya sibuk menambah koleksi dosa, Dia masih lagi mahu melindungi saya, mahu menyayangi saya. Lantas Dia membuka pintu hati saya, membuatkan saya nampak segala pekat hitam yang saya sendiri sembunyikan.
Betapa agung cinta-Nya. Betapa hina diri saya yang kerdil ini.
Sebab betapa hebat pun saya mendabik dada, saya tetap hamba-Nya.
Cuma, saya rasa bersalah kerana membiarkan dia terpinga-pinga sendiri. Mungkin bukan tanggungjawab saya untuk menegur dan mengajak dia kembali ke pangkal jalan, tapi saya tetap merasai kekesalan itu. Kesal kerana tidak mampu mengajaknya ke arah kebenaran. Kesal kerana saya pernah mengajaknya ke jalan kejahatan.
Ya Allah, cinta-Mu tiada tandingan. Lindungilah aku, ibu bapaku, ahli keluargaku, sahabat-sahabatku, dan muslimin muslimat yang lain dengan kasih dan cinta-Mu dalam usaha kami dalam mencari redha-Mu, ya Allah.
Kepada 'dia', seandainya anda sedang membaca post ini, maafkanlah segala kekhilafan saya selama tempoh itu. Saya cumalah hamba-Nya yang jahil. Anda tahu siapa diri anda. Nasihat saya, kembalilah pada Dia. Saya banyak mengajak anda membuat kesilapan, oleh itu saya mahu menebus kembali kesalahan itu dengan mengajak anda kepada kebaikan. Kepada cinta dan redha-Nya.
Maafkan saya.
If I'd only known
how the king would fall
hey who's to say
you know I might've changed it all- "The Dance", Garth Brooks